SUDUT RENUNGAN

DERHAKA KEPADA IBU BAPA

Derhaka kepada ibu bapa adalah merupakan salah satu dari dosa-dosa besar selepas syirik kepada Allah s.w.t. Seseorang yang melakukan perbuatan derhaka kepada ibu bapanya sukar untuk mendapatkan keampunan Allah selagi dia tidak mendapat keampunan dari kedua ibu bapanya. Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari telah bersabda maksudnya;

"Mahukah kamu jika aku khabarkan tentang dosa-dosa yang sangat besar? Mahukah kamu jika aku khabarkan tentang dosa-dosa yang sangat besar? Mahukah kamu jika aku khabarkan tentang dosa-dosa yang sangat besar? Ingin sekali, sahut para sahabat. Lalu Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah, derhaka kepada ibu bapa dan bercakap serta bersumpah palsu"

Derhaka kepada ibu bapa bermaksud melakukan perbuatan jahat terhadap ibu bapa seperti memaki-hamun, mengherdik, memukul, mengusir, bersumpah atas namanya, membiarkan hidupnya sengsara dan sebagainya, yang menyebabkan hati mereka terguris, kesal, hiba, kecewa, dukacita dan seumpamanya. Kita juga dianggap derhaka dengan melakukan perkara yang sekecil-kecilnya sekiranya perkara itu mengguris hati ibu bapa seperti mengerut kening atau mengeluarkan perkataan ah sekalipun.

Kederhakaan ini bukanlah terbatas kepada perlakuan-perlakuan kita dihadapan mereka sahaja, tetapi juga termasuk perlakuan-perlakuan dibelakang mereka sperti mencuri, menipu, menjatuhkan maruah mereka dan banyak lagi. Jika diteliti derhaka yang dilakukan dibelakang ibu bapa lebih mendatangkan implikasi yang buruk. Ini adalah kerana perbuatan itu boleh mendedahkan keaiban mereka kepada umum. Oleh yang demikian, mereka yang derhaka kepada ibu bapanya sedemikian rupa akan menerima balasan dan dosa yang besar.

Jika kita melihat realiti hari ini, kita dapati bukan sedikit anak-anak yang menderhakai ibu bapa. Ada anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua lantaran tidak sanggup dan tidak mahu berhadapan dengan kerenah ibu bapa mereka. Kita tidak dapat nafikan betapa sukarnya memelihara ibu bapa terutama yang telah tua. Terlalu banyak perkara yang kita lakukan tidak menepati selera mereka, ditambah lagi dengan sikap mereka yang suka merajuk. Semuanya ini sebenarnya adalah sesuatu yang telah diatur oleh Allah s.w.t. untuk menguji sejauhmana keperihatinan dan ketaatan seorang anak terhadap ibu bapanya. Sebagai jalan penyelesaian yang mudah mereka menghantar ibu bapa yang tua dan lemah itu ke rumah-rumah kebajikan untuk dijaga dan dipelihara oleh orang lain. Kita sepatutnya insaf dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana jasa mereka dalam mendidik dan membesarkan kita sangat besar dan tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit sekalipun. Inilah agaknya mengapa Allah mengenakan azab dan siksa yang pedih kepada orang yang derhaka kepada ibu bapa. Sabda Rasulullah s.a.w Ertinya:

Segala dosa dapat ditangguhkan daripadanya oleh Allah s.w.t. mana-mana yang dikehendakinya hingga ke hari kiamat, melainkan derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan siksa bagi orang yang melakukannya di dalam masa hidup di dunia sebelum matinya

Hadis tadi menjelaskan bahawa siksaan atau balasan yang dikenakan oleh oleh Allah s.w.t. terhadap orang yang derhaka kepada ibu bapa akan disegerakan. Dengan kata lain, balasan tersebut akan Allah kenakan semasa di dunia lagi. Sebab itulah kita dapati orang derhaka kepada ibu bapa tidak ada kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Mereka diselubungi keresahan dan rasa bersalah. Rumahtangga mereka porak-poranda. Dan yang akhirnya anak-anak mereka pula yang akan menderhaka kepada mereka.

Di dalam menghadapi kerenah ibu bapa, kita hendaklah bersabar dan tenang terutama mengahadapi ibu bapa yang suka berleter. Kita hendaklah sentiasa ingat bagaimana sabarnya mereka ketika mengahadapi kerenah kita semasa kecil dahulu. Hadapilah mereka dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Jangan sesekali kita mengeluarkan kata-kata yang kesat, memaki, memukul atau mengusir mereka. Perbuatan yang seumpama ini sangat dilarang oleh dan dikutuk sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya ;

“Terkutuk orang yang memaki bapanya, terkutuk orang yang memaki ibunya.”

Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki yang bernama 'Alqamah yang sedang nazak dan berada dalam detik-detik kematian. Semasa sihatnya Alqamah sangat terkenal sebagai seorang yang kuat beribadat, tatapi ketika mengahadapi sakaratul maut, dia tidak dapat menlafazkan kalimah syahadah. Walaupun setelah diajar berkali-kali beliau masih gagal mengucapkannya, seolah-oleh lidahnya kelu. Keadaannya sungguh menyiksakan, tetapi rohnya masih tidak mahu pergi dari jasad. Peristiwa ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanyakan samada Ibu bapa Alqamah masih hidup. Setelah disiasat ternyata Alqamah pernah melukakan hati ibunya. Rasulullah meminta supaya siibu memaafkan Alqamah. Tetapi ibu yang terluka itu enggan memaafkan anaknya. Tetapi kasih ibu sepanjang zaman. setelah diancam oleh Rasulullah untuk membakar Alqamah hidup-hidup, hati ibu segera berubah, kasih sayang tidak terbendung lagi. Lantas si ibu memaafkanya. Dengan itu Alqamah boleh mengucapkan dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Begitulah betapa beratnya hukuman yang diterima oleh si penderhaka. Sekiranya ibu bapa tidak meredhainya, siksaan yang pedih pasti menanti kita. Tetapi lihatlah, betapa kasihnya ibu terhadap anak. Betapa terluka hatinya sekalipun, hatinya sentiasa memaafkan anak.