PANDUAN - CARA MENGULANGKAJI

MENGULANGKAJI

Tidak keterlaluan jika dikatakan waktunya telah tiba untuk mengulangkaji terutamanya bagi pelajar Tingkatan 3 yang akan mengambil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),  Pelajar perlu membezakan di antar "belajar" dan "ulangkaji".  Ulangkaji bermakna kita mengharap semua matlumat dan fakta dari nota-nota ringkas dan bukannya menyogokkan fakta-fakta dan maklumat-maklumat baru yang membingungkan.

TEMPOH ULANGKAJI

Ada pakar mengatakan masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan.  Ada yang mengatakan selama 3 minggu.  Walau bagaimanapun adalah mustahil untuk mengatakan dengan tepat akan jumlah masa yang perlu diperuntukkan kerana kemampuan seseorang itu adalah berbeza.  Tetapi sebagai panduan 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk mengulangkaji.  Ada yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana kita telah menamatkan tempoh belajar untuk menghadapi peperiksaan percubaan.  Tetapi ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan.

Di bawah ini diperturunkan diantara cara-cara mengulangkaji.

1. Perancangan yang rapi.
2. Tekanan dan gangguan perasaan semakin terasa apabila menjelang hari peperiksaan.  Tekanan akan dapat dikurangkan dengan berehat dan yang penting kita mempunyai perancangan yang ketat menjelang peperiksaan.
 Tumpukan pada topik utama sahaja.

3. Nota-nota ringkas telah tersedia (Terutamanya yang mempunyai kecenderungan untuk keluar).

4. Merangka jawapan dan berlatih menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.

5. Musuh utama ketika mengulangkaji ialah jemu.  Keadaan ini dapat dielakkan dengan menukar rutin yang akan menyebabkan anda segar semula.  Caranya ialah :-

i) Anda boleh mendapatkan khidmat tuisyen dimana anda boleh berbincang mengenai subjek yang sukar.

ii) Mengulangkaji secara berkumpulan.
 Walau bagaimanapun terdapat unsur yang merbahaya apabila belajar secara berkumpulan kerana terdapat kecenderungan untuk berbual kosong.  Fikir sedalam-dalamnya tentang personaliti rakan-rakan kita untuk sama-sama berbincang.  Jika kita merasakan tindakan kita untuk berbincang bersama-sama rakan-rakan lain tidak membawa banyak manafaat, elakkan untuk melakukan perbincangan.

HARI PEPERIKSAAN

Apabila hari peperiksaan menjelang tiba, tiada siapa yang akan menolong kita.  Hanya kita yang boleh membantu diri kita sendiri.  Semuanya mesti berasa dalam ingatan kita.  Tiada lagi masa untuk mengulangkaji atau membaca buku.  Doa-doa kita yang lepas adalah pendorong dan meyakinkan kita untuk lulus peperiksaan.  Jangan bimbang, kita memang menantikan hari ini, menanti saat-saat menghadapi peperiksaan ini.

Antara perkara yang perlu dilakukan semasa menjelang hari peperiksaan ialah :-

1. Menyediakan segala kelengkapan seperti kad pengenalan, pen, pensil, pembaris dan peralatan lain.  Sediakan jam tangan kerana bimbang jam di dalam dewan terlindung dari pandangan kita.

2. Persiapan terakhir - Perkara yang perlu diambilkira seterusnya ialah, "Patutkah aku pergi ke sekolah bersendirian?".  Ramai yang berpendapat tidak perlu berteman.  Ini kerana ada dikalangan pelajar yang bersama rakan-rakan sering bercakap tentang kebimbangan dan ketakutan mereka tentang peperiksaan.  Jika bersama-sama rakan pun biarlah rakan yang memberi ketenangan kepada kita.  Bagi pelajar yang percaya, pen biru akan membawa tuah, teruslah menggunakannya.  Bagi pelajar Muslim tentulah doa yang mengiringi keyakinan mereka ke dewan peperiksaan.  Kita perlu berpegang kepada sesuatu untuk memberi harmoni kepada minda kita.

     Jika waktu peperiksaan bermula pada pukul 9.00 pagi, peruntukkan sedikit masa untuk sampai sebelum waktunya.  Makanlah sebelum menghadapi peperiksaan.  Jangan membiarkan diri terasa lapar kerana kita memerlukan tenaga untuk menghadapi peperiksaan.

     Perlu diingatkan kepada calon supaya pergi ke tandas terlebih dahulu untuk mengelakkan calon dari keluar semasa peperiksaan sedang dijalankan.  Gangguan ini hanya mengganggu konsentrasi.

     Pelajar yang tenang ialah mereka yang siap sedia menghadapi peperiksaan.  Seseorang akan tenang jika dapat awal ke tempat peperiksaan.  Jika kita merasa tidak selesa semua ini akan ditunjukkan dalam kertas peperiksaan kita.  Jika kita bersistematik dan tenang adalah tidak menghairankan jika kerja kita mudah dibaca dan kemas.  Begitu juga dengan peralatan atau perkakas peperiksaan biarlah tidak menimbulkan masalah kepada kita seperti hilang atau tersalah letak.

     Perkara penting yang perlu kita ingat ialah menentukan tarikh dan waktu peperiksaan sebelum peperiksaan bermula.  Bayangkanlah bagaimana kecewanya kita jika gagal dalam peperiksaan hanya kerana tersalah memastikan tarikh peperiksaan.
 

3. Peperiksaan Bermula.

 Jika ada topik ramalan yang keluar dalam soalan, tentulah kita merasa gembira.  Kegembiraan itu janganlah disusuli dengan sifat tergopoh gapah.  Keghairahan menjawab hanya akan menyebabkan kita terburu-buru mengejar fakta-fakta yang tersimpan dalam ingatan.  Salah satu kesilapan calon ialah menjawab soalan dengan tergesa-gesa.  Ini merupakan satu bentuk panik.

     Kebanyakan calon ingin menulis dengan cepat kerana calon merasakan mereka mempunyai  masa yang singkat untuk ditulis kepada pemeriksa.  Mereka ingin memberitahu kepada pemeriksa mereka tahu menjawab dan telah bersedia dengan peperiksaan.  Mereka hanya melihat soalan sepintas lalu dan mula menulis apa yang mereka ketahui tentang topik itu.  Jika kita mengamalkan sikap sebegini, kita sebenarnya berada dalam keadaan yang merbahaya.

     Kita tidak dapat mempengaruhi pemeriksa jika mendekati soalan dengan cara yang tidak tersusun kerana jawapan begitu selalu tidak mengikut kehendak soalan.

     Pastikan kita ada semua muka surat kertas peperiksaan.  Kemudian bacalah arahan di dalam kertas peperiksaan.  Cara yang baik ialah memulakan dengan tenang dan membaca soalan dengan berhati-hati sebanyak dua kali.  Walaupun nampak tidak berfaedah tetapi ia merupakan disiplin yang berguna.

4. Kelemahan calon semasa menjawab soalan.

a. Ramai calon yang memberikan jawapan-jawapan yang ringkas atau sebaliknya memberikan jawapan yang panjang tetapi tidak mengandungi isi.  Calon belum lagi  mencapai tahap kematangan dan pengetahuan berfikir.  Calon tidak tahu berhujah.

b. Masalah dari segi bahasa dan istilah.  Penggunaan istilah atau perkataan tidak sesuai atau kurang tepat telah mengakibatkan sesuatu jawapan lain maksudnya.

c. Menggunakan ayat yang panjang dan berbelit-belit.  Keadaan ini menimbulkan kekaburan dan kekeliruan tentang idea dan hujah yang dikemukan oleh calon.

d. Calon tidak dapat menghubungkait sesuatu fakta atau konsep ia kerapkali dipisahkan sehingga menyebabkan kesatuan isi jawapan menjadi lemah.  Calon tidak menguasai fakta.

e. Tidak mematuhi arahan yang terdapat dalam kertas soalan.  Misalnya mereka tidak mematuhi jumlah perkataan yang ditetapkan.  Ini menyebabkan markah calon dipotong.

f. Mutu jawapan tidak seperti yang diharapkan sehingga tidak mencapai tahap yang dikehendaki.  Pengolahan jawapan kebanyakannya tidak baik disebabkan oleh dangkalnya kefahaman tentang isu yang ditimbulkan.

g. Kerapkali memberikan apa yang mereka tahu dan bukannya apa yang ditanya.

h. Memberikan jawapan secara umum sahaja.  Ini kerana pengetahuan pelajar juga secara umum dan ditambah dengan kurang minat membaca.  Banyak membaca buku rujukan yang diperaku di dalam sukatan pelajaran dapat membantu calon menjawab dengan matang dan jelas.

i. Tulisan tangan yang buruk.
 

5. Pembahagian Masa.

 Apabila kita telah membaca soalan sebanyak dua kali secara berhati-hati, beralihlah kepada soalan seterusnya.  Periksalah jumlah soalan yang perlu dijawab dan soalan-soalan yang wajib dijawab.  Tidak kira berapa kali telah diberitahu atau berapa kali kita telah melihat sendiri soalan-soalan tahun lepas, tetapi kita masih mesti memastikan pada hari peperiksaan kalau-kalau bentuk soalannya telah berubah.  Kemudian bahagikan masa bagi setiap soalan dengan seimbang untuk dijawab dengan lancar.  Kita juga perlu menyediakan masa untuk membaca semula  jawapan yang telah ditulis.  Adalah tidak bijak jika kita mengatakan adalah lebih berfaedah dalam masa 7 minit ini digunakan untuk menjawab soalan dari membaca semula semua jawapan.  Melalui pembacaan semula kita dapat memperbetulkan ejaan, tulisan yang tidak jelas, tanda baca, imbuhan, penggunaan kata jamak, permulaan ayat atau fakta yang tertinggal.  Pembetulan ini sedikit sebanyak membantu kita untuk memperolehi markah yang lebih.

Apa Tindakan Yang Harus Dilakukan Jika Panik Semasa Peperiksaan.

Mula-mula berhenti menulis, luangkan sedikit masa.  Letak pen atau pensil, genggamkan tangan dan lembutkan anggota badan.  Jangan silangkan kaki.

Tarik nafas sedalam-dalamnya menerusi hidung.  Dapatkan sebanyak mana oksigen.  Sekiranya perlu ke bilik air minta kebenaran.  Jangan fikir tentang kertas peperiksaan sehingga kembali ke dewan.  Buat semula senaman tarik nafas.  Setelah lega, mulalah dengan membaca/menyemak jawapan yang dibuat dan mula menjawab.
 

Ihsan daripada PPD Krian
(Semoga usaha kalian diberkati Allah)